KASIH SAYANG

KASIH SAYANG

20100113

Sindiket culik budak di N.Sembilan

Cerita di Negeri Sembilan lagi !

Tahap keselamatan rakyat saban hari semakin membimbangkan. Banyakkanlah berdoa mohon keselamatan dan bertawakkal, dah tak ada cara lain lagi dah untuk mengurangkan kes jenayah di Malaysia ni, hanya kita mampu berserah pada ALLAH.

Agaknya NGO-NGO mana pula yang sanggup menyediakan sukarelawan mengawal kanak-kanak pergi balik sekolah, pergi balik mengaji, pergi balik kedai dan sebagainya ?

*******************************
Budak terjun kereta elak kena culik

Berita Harian 13 Jan 2010. BAHAU: Tindakan nekad dan pantas seorang kanak-kanak lelaki berusia sembilan tahun melompat dari kereta lelaki tidak dikenali di Kampung Serting Hulu, Batu Kikir di sini, petang kelmarin, berjaya mengelakkan dirinya menjadi mangsa culik.

Dalam kejadian kira-kira jam 2 petang itu, mangsa dikatakan sedang berjalan kaki bersama kakaknya berusia 12 tahun untuk pulang ke rumah mereka dari kedai di kawasan itu.

Bagaimanapun, secara tiba-tiba, sebuah kereta Proton Saga berhenti berhampiran mereka dan seorang lelaki meluru keluar dari kereta itu lalu menolak kakak mangsa ke tepi dan mengheret kanak-kanak lelaki itu masuk ke dalam kereta berkenaan.

Ketua Polis Daerah Jempol, Superintendan Mohd Sabri Muhamad, berkata kanak-kanak itu ditolak masuk ke tempat duduk penumpang di depan dan lelaki itu menutup pintu sebelum berlari untuk masuk semula ke tempat duduk pemandu.

"Bagaimanapun, mangsa yang masih terkejut dengan kejadian itu segera membuka pintu dan melompat keluar dari kereta lalu berlari menuju ke kawasan rumahnya sambil menjerit meminta tolong.

"Lelaki itu yang melihat mangsa menyelamatkan diri akhirnya terus memandu keretanya melarikan diri dari kawasan itu," katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Mohd Sabri berkata, polis masih menjalankan siasatan lanjut berhubung kes itu selepas keluarga mangsa membuat laporan polis.

Sehubungan itu, polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu supaya menghubungi polis di talian 06-4541222 atau mana-mana balai polis berhampiran.

http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Wednesday/Nasional/20100113010746/Article/index_html

Tiada ulasan: