Beria-ialah kita nak bantu promo secara percuma Medan Ikan Bakar Kampung Telok Pasir Panjang di http://waghih.blogspot.com/2009/10/medan-ikan-bakar-kg-telok-pasir-panjang.html untuk keuntungan semua pihak, peniaga dan pelancong. Tapi pihak yang bertanggungjawab tidak serius dan tolak menolak.
Memalukan orang Negeri Sembilan saja. Nak tolong ke , tak nak tolong peniaga Melayu ni ?
************************
Bau sampah jejas selera pengunjung
Sinar Harian 22 Jan 2010
KAMPUNG TELOK – Peniaga Medan Ikan Bakar Kampung Telok Pasir Panjang yang terletak di bangunan blok kedai, di sini bingung memikirkan pelbagai aduan pelanggan yang tidak selesa berkunjung ke situ.
Kebanyakan peniaga mendakwa menerima banyak aduan daripada pelanggan bahawa keseronokan mereka menikmati hidangan terganggu disebabkan bau busuk daripada sampah yang dibuang di tepi jalan berhampiran.
Noriah Osman, 48, berkata masalah bau busuk sampah sudah berlarutan terlalu lama dan perkara ini juga mendapat liputan beberapa media namun ia tetap tidak dapat menarik perhatian pihak bertanggungjawab untuk menyelesaikannya.
Menurutnya, permasalahan ini timbul disebabkan ada pihak membuang sampah di seberang jalan kedai makan terbabit.
“Apabila sampah lambat dikutip, ia akan mengeluarkan bau dan mengganggu keselesaan pelanggan ditambah apabila ada anjing dan monyet yang menyelongkar sisa makanan tersebut sehingga mengundang lalat serta mengeluarkan bau busuk.
“Kawasan ini memang banyak monyet dan anjing kerana ia bersebelahan dengan Hutan Lipur Pasir Panjang,” katanya yang berniaga di situ sejak 12 tahun lalu.
Terpaksa buang sampah di pekan
Menurutnya, oleh kerana kawasan medan ikan bakar ini tidak mempunyai tempat pembuangan sampah yang khusus, ada individu tidak melonggokkan sampah mereka di kawasan seberang jalan kedai makan ini.
Noriah berkata, sepatutnya apabila melonggokkan sampah di situ, individu tersebut haruslah bertanggungjawab untuk menjaga kebersihannya namun tong yang sudah terbalik pun mereka biarkan begitu sahaja dan sesuka hati membuang sampah di luar tong pula.
“Sedangkan saya sendiri mengambil inisiatif untuk membuang sampah di tempat pembuangan sampah yang disediakan berdekatan dengan Kem Program Latihan Khidmat Negara, di sini.
“Apabila selesai berniaga pada sebelah malam, saya akan membuang sampah di situ semasa dalam perjalanan pulang ke rumah,” katanya lagi.
Pendapat Noriah disokong seorang lagi peniaga, Soleha Ajol, 55, yang mengakui terpaksa membuang sampah di tong sampah besar yang disediakan Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD) di kawasan Pekan Pasir Panjang.
“Saya terpaksa berbuat demikian memandangkan di sini tiada tempat pembuangan sampah yang khas dan ia juga bagi mengelakkan bau busuk dan ketidakselesaan kepada pelanggan malah kami juga.
“Memandangkan di sini kawasan di tepi laut, angin sentiasa kuat dan bau busuk sampah memang sentiasa ada,” katanya.
Menurutnya, tempat ini ada rumah sampah tetapi ia berkunci dan tidak dapat dimanfaatkan oleh peniaga di sini.
Selesai segera masalah
Sementara itu, seorang lagi peniaga, Khairul Nizam Mohamad, 34, mendakwa rumah sampah yang terdapat di kawasan ini tidak pernah dibuka oleh pihak bertanggungjawab untuk kegunaan peniaga di sini.
“Rumah sampah yang sepatutnya dibuka untuk kegunaan peniaga dikunci dan tidak pernah dibuka sejak ia siap dibina. Sekurang-kurangnya jika rumah sampah ini boleh digunakan, peniaga di sini akan membuang sampah di situ,” katanya.
Khairul Nizam berkata, jika menggunakan rumah sampah, sampah dalam keadaan tertutup sekali gus mengurangkan bau busuk serta selamat daripada diselongkar oleh anjing dan monyet.
“Masalah bau busuk sampah dan lalat juga dapat dikurangkan dan ini akan memberikan keselesaan kepada pelanggan.
“Tempat makan ini sering dikunjungi oleh pelancong dari luar dan kebiasaannya menjadi tumpuan pada hujung minggu,” katanya.
Malah, katanya, medan selera di sini juga dikenali sebagai salah satu produk pelancongan yang ada di Port Dickson namun jika masalah bau sampah berkenaan berterusan, dikhuatiri ia akan membawa imej buruk Port Dickson selain menjejaskan pendapatan peniaga.
Menurutnya, lebih malang lagi kerana jadual pemungutan sampah di kawasan ini juga tidak teratur dan mendakwa pernah satu ketika hampir tiga minggu sampah tidak dikutip dan pastinya ia memberikan satu bebanan kepada peniaga di sini.
“Adalah diharapkan pihak berkuasa segera membantu peniaga di sini menyelesaikan permasalahan sampah yang sudah lama dihadapi ini.
“Walaupun medan makan kami terletak agak pedalaman tetapi ia merupakan antara destinasi tempat makan yang sering menjadi perhatian pelancong kerana keenakan ikan bakarnya,” katanya lagi.
MPPD jawab rungutan
Sementara itu, Yang Dipertua MPPD, Abd Wahab Samsudin ketika ditemui Sinar Harian berkata, ketika ini, medan ikan bakar itu masih dalam peringkat akhir untuk diserahkan pengurusannya daripada Pejabat Daerah ke MPPD.
“Dalam masa terdekat ini tempat berkenaan akan diambil alih oleh MPPD. Selepas itu, MPPD akan mengkaji semula konsep tempat berkenaan dan juga akan dilakukan penambahbaikan jika perlu untuk beberapa kemudahan agar keselesaan peniaga dan pengunjung terjamin,” katanya kepada Sinar Harian.
http://www.sinarharian.com.my/mns/content/story6411418.asp
Tiada ulasan:
Catat Ulasan