KASIH SAYANG

KASIH SAYANG

20100621

Skim pelaburan, nak kaya sampai tertipu

Kenapa nak sangat cepat kaya ? Kenapa mudah untuk melabur dalam skim pelaburan yang pelik-pelik sampai ada yang sanggup buat pinjaman ? Kenapa susah hendak melabur dalam skim pelaburan akhirat seperti pembinaan masjid, surau, rumah anak yatim, rumah perlindungan saudara baru, mereka yang kesusahan , Gaza , Palestin dan sebagainya ?

Usaha promosi untuk skim pelaburan akhirat perlu diperhebatkan oleh semua pihak. Hadith-hadith Nabi SAW pun banyak menyebut mengenai pahala dan dosa, syurga dan neraka, perkara ghaib. Tapi sayang , semua orang sekarang sibuk nak berniaga dalam segala hal , berapa upah , berapa komisyen , royalti dan sebagainya.

Kalau nak bayar royalti, orang yang sepatutnya paling kaya di dunia ini mendapat royalti ialah Nabi SAW , kerana begitu banyak ayat Al Quran yang diturunkan kepada Baginda SAW, juga hadith-hadith Baginda SAW serta . Baginda SAW tidak meminta royalti, Baginda menyeru umatnya untuk mengamalkannya.

Kalau usaha promosi untuk pelaburan akhirat tidak diperhebatkan , maka pelaburan dunia , pelaburan skim cepat kaya yang akan berleluasa.

**************************
Sindiket pelaburan kebas duit

Sinar Harian 21 Jun 2001

SEREMBAN – Dengan bertopengkan skim pelaburan berasaskan projek ternakan lintah, seorang lelaki dan anaknya berjaya memperdayakan kira-kira 3,000 mangsa di seluruh negara serta membawa lari wang tunai dianggarkan RM40 juta.

Lelaki terbabit, 50an, dan anaknya berumur sekitar 20an dipercayai mengaburi mata mangsa dengan menjanjikan pulangan berlipat ganda nilai pelaburan dalam tempoh enam bulan.

Skim pelaburan putar alam itu dikendalikan menerusi sebuah syarikat beroperasi awal 2008 hingga tahun lalu dan mempunyai ibu pejabat di bandar ini, selain beberapa cawangan di negeri lain.

Akibat kegiatan penipuan itu, mangsa melibatkan masyarakat pelbagai kaum termasuk orang kenamaan mengalami kerugian antara RM5,000 hingga RM1.5 juta.

Seorang mangsa, Mohamad Halim Husnan, 40, dari Seremban, berkata, ramai yang terpedaya kerana publisiti meluas skim itu di sebuah akhbar pada awal 2008.

“Syarikat terbabit menjanjikan pulangan kira-kira RM12,500 bagi setiap RM5,000 dilaburkan selepas enam bulan bagi projek menternak lintah. Lebih banyak jumlah dilaburkan, lebih tinggi nilai pulangan.

“Pada dua bulan pertama, memang ada pelabur yang mendapat sedikit pulangan. Namun, bagi bulan-bulan berikutnya, kami tidak menerima walau satu sen pun,” katanya ketika ditemui selepas majlis perjumpaan kira-kira 150 mangsa penipuan skim berkenaan di Rasah dekat sini, semalam.

Dia yang mempengerusikan majlis perjumpaan itu berkata, pelabur mengesyaki ditipu cuba meminta wang dikembalikan, tetapi gagal kerana syarikat didapati tidak beroperasi dan pejabatnya disita.

Kata Mohamad Halim, dua lelaki terbabit dan semua ahli keluarga mereka tidak dapat dikesan serta terdapat kemungkinan mereka melarikan diri ke luar negara.

Beliau mendakwa, kegiatan penipuan itu dilaporkan kepada pihak berkuasa, tetapi sehingga kini, semua mangsa tidak pasti tentang tindakan susulan diambil.

“Pada perjumpaan hari ini (semalam), kami sepakat untuk mengemukakan memorandum kepada Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaacob di Parlimen, 30 Jun ini.

“Selain itu, kami akan melantik peguam supaya tindakan undang-undang diambil terhadap semua pemilik syarikat berkenaan,” katanya.

Mohamad Halim yang kerugian RM20,000 berkata, dipercayai masih ramai mangsa penipuan skim pelaburan ternakan lintah itu belum tampil membuat laporan dan meminta mereka menghubunginya di talian 012-3848840.

Sementara itu, mangsa, S Magindran, 45, dari Rawang, Selangor, berkata, dia dan dua rakannya menyertai skim terbabit untuk menambah pendapatan.

Bagaimanapun, kata Magindran, hasrat itu tidak kesampaian malah menyebabkan mereka terpaksa menanggung kerugian sebanyak RM10,000.

http://www.sinarharian.com.my/mns/content/story7849082.asp

Tiada ulasan: