KASIH SAYANG

KASIH SAYANG

20140629

Lembaga Masjid dan Surau ditubuhkan


Walau apa pun transformasi masjid, penubuhan lembaga masjid dan sebagainya, matlamat yang paling utama dalam masjid ialah berapa ramai ahli kariah hadir solat jemaah di masjid tersebut, berapa banyak kuliah ilmu diadakan di masjid tersebut, berapa ramai yang hadir kuliah ilmu di masjid tersebut.

Kayu pengukur kecemerlangan masjid di Negeri Sembilan, KPInya bukan setakat masjid yang indah, lanskap yang cantik, tabungan masjid yang berjuta ringgit, tetapi perlu diutamakan kehadiran Imam, Bilal,Siak, Pengerusi serta AJK yang dilantik setiap solat 5 waktu, kehadiran ahli kariah ke solat jemaah serta kuliah, kekerapan kuliah dan kebajikan ahli kariah dijaga, jangan sampai penderitaan ahli kariah terpampang di dada akhbar barulah semua pihak hendak ambil tahu.

Lembaga Masjid dan Surau ditubuhkan - MB

SEREMBAN 27 Jun 2014 - Sebuah Lembaga Masjid dan Surau peringkat negeri akan ditubuhkan dalam waktu terdekat bagi menyelaraskan aktiviti dan keperluan institusi itu, seiring dengan usaha mengharmonikan umat Islam keseluruhannya.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan memberitahu, di bawah lembaga berkenaan akan ada jawatankuasa dengan dengan beliau menjadi pengerusi peringkat negeri, manakala semua Pegawai Daerah menganggotai jawatankuasa berkenaan, selain beberapa Ahli Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS).

"Lembaga yang akan diwujudkan ini akan menjadi pusat pemantau dan pengurusan masjid. Selain itu, ada penyelaras masjid dan surau yang kita bawa daripada Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS), di bawah pemantauan ataupun di bawah kuasa MAINS," katanya di sini, hari ini.

Mohamad memberitahu, di peringkat daerah pula akan diwujudkan jawatankuasa masjid dan surau dengan dipengerusikan oleh Pegawai Daerah serta dibantu timbalan pengerusi oleh Pegawai Agama Islam daerah masing-masing.

"Setiausaha di peringkat daerah ini ialah pegawai-pegawai penyelaras masjid dan surau. Kalau boleh, kita akan lantik jawatankuasa yang besar untuk memastikan turutan proses pentadbiran ini dapat dilangsungkan dengan berkesan," jelasnya.

Kata beliau, untuk tujuan itu juga MAINS akan diperkukuhkan bagi melancarkan pengurusan dan pentadbiran masjid dan surau.

Dalam pada itu, Mohamad menjelaskan, pada tahun ini, pihaknya juga akan mengembangkan konsep eksekutif masjid.

"Sebanyak 18 orang pegawai muda yang mempunyai ijazah dalam bidang agama Islam dari Mesir dan beberapa universiti lain telah diberikan jawatan dan menjalani kursus selama enam bulan di Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) antaranya berkaitan pengurusan dan kewangan.

"Mereka akan ditempatkan di masjid yang diperlukan dahulu dan ada dalam kalangan mereka terdiri daripada hafiz al-Quran," katanya.

Justeru, kata beliau, adalah perlu pengurusan masjid memberikan kerjasama kepada pegawai muda ini dan memberikan sokongan dalam mereka melaksanakan tanggungjawab yang telah diamanahkan.

"Mereka akan datang ke masjid sebagai pentadbir dan setiausaha serta pengerusi masjid perlu bekerjasama agar masjid dapat diurus dengan baik.

"Apa yang penting kita mahu lihat masyarakat Islam di negeri ini terus kukuh, bersatu padu dan jangan berpecah-belah," kata beliau.

Tiada ulasan: