KASIH SAYANG

KASIH SAYANG

20140628

Promosi Beri Makan Buka Puasa Pelajar Sekolah Pondok/Tahfiz


Sejuk mata, hati apabila solat jemaah di Madrasah Tuan Haji Ibrahim, Bongek, Rembau. Apa ke tidaknya, para pelajarnya berubah putih dan berserban. Rasa begitu tenang sekali. Tanpa disuruh dan diminta para pelajar ini apabila jumpa salam, cium tangan, bukan kita minta, tetapi mereka dibudayakan begitu hanya mengharapkan redha ALLAH.

Setiap Ramadhan, yang menjadi perhatian ialah Rumah Anak Yatim, mereka ini akan penuh jadual mereka untuk menghadiri majlis berbuka puasa. Tetapi jarang kita dengar promosi berbuka puasa di Sekolah Pondok/Tahfiz.

Dan di Negeri Sembilan ini terlalu sedikit bilangan Sekolah Pondok/Tahfiz, lebih-lebih lagi yang mempunyai program secara tradisional dan konvensional. Di Rembau hanya ada 2 Sekolah Pondok/Tahfiz yang diusahakan oleh 2 orang guru serta sahabat yang saya kasihi dan hormati.

Yang pertama ialah Madrasah Tuan Haji Ibrahim di Bongek, mempunyai sekitar 30 orang pelajar. Pengetuanya ialah Ustaz Khairuddin Yusof, cucu kepada ulama terkenal di Malaysia iaitu Almarhum Tn Hj Ibrahim. Yuran yang dikenakan kepada pelajar yang belajar di sini saya rasa antara yang termurah di Malaysia. Untuk menampung kekurangan kos pengurusan ialah dengan sumbangan dan derma orang ramai.

Yang keduanya ialah Madrasah Az Zakirin yang diusahakan oleh Ustaz Zakaria Talib, juga terletak di Bongek, berhampiran kaki Gunung Datuk. Madrasah ini dalam keadaan sekitar yang begitu aman, nyaman, hijau, dihiburkan dengan kicauan burung. Jumlah pelajarnya sekitar 12 orang. Yuran adalah mengikut kemampuan ibu bapa pelajar dan ditampung dengan sumbangan orang ramai.

Kedua-dua madrasah ini pada perkiraan saya amat sesuai kepada mereka yang ingin mendapat pahala memberi orang berbuka puasa selain penghuni rumah anak yatim.

Mereka yang ingin memberi makan berbuka puasa untuk pelajar Sekolah Pondok/Tahfiz di Rembau ini bolehlah berjumpa terus dengan Ustaz Khairuddin atau Ustaz Zakaria. Jika hendak no telefon mereka sila hubungi saya 012-2267406 , rozmal@yahoo.com atau PM FB : Rozmal

SELAMAT MENYAMBUT RAMADHAN AL MUBARAK
Semoga Ibadah Kita Pada Bulan Ini Diterima ALLAH dan Diampunkan Semua Dosa Kita

Tiada ulasan: