Sempena cuti hari Krismas 25 Dis 2012, Masjid Jamek Tanah
Datar, Chengkau yang terletak di tepi jalan utama Rembau-Tampin telah
mengadakan program ceramah dan majlis tahlil perdana.
Kehadiran masyarakat setempat dan yang dari luar kariah
adalah cukup luar biasa. Walaupun tiada bendera Umno, PAS, PKR serta BN
digantung di sekitar pagar masjid, penduduk setempat datang membawa anak-anak,
isteri, tok serta wan.
Antara yang hadir ialah Bekas wakil raykat Datuk Zaharudin
Mohd Shariff yang menjadi ADUN Kota (Umno) dari tahun 1999-2004, Imam Masjid
Gadong Cikgu Rahman, beberapa Dato Adat, Ustaz Muzni bin Borhan Pegawai
Penyelaras Masjid Daerah Rembau, Sdr Nazree Yunus Ketua Angkatan Muda Keadilan
N.Sembilan, Sdr Izamri Pengarah AMAL N.Sembilan, saya selaku Yang Dipertua PAS
Rembau dan juga wakil Aqsa Syarif N.Sembilan Sdr Hasri Wazir yang mengadakan
pameran Palestin. Malahan sahabat lama saya semasa MISG US dulu pun
ada, iaitu Sdr Husna Abd Shukor yang dah bertahun-tahun tak berjumpa.
Tiada sebarang ucapan dari pemimpin politik dari parti mana
sekali pun dalam masjid tersebut sepanjang program. Pengerusi Majlis , Cikgu
Taufek terus mempersilakan Ustaz Muzni untuk mengetuai majlis tahlil perdana,
dan selepas itu terus dengan ceramah oleh penceramah terkenal Astro Oasis,
Kapten (B) Dzulkarnain Hamzah.
Jemaah yang hadir terutama kaum wanita amat begitu tertarik
dengan mesej yang disampaikan oleh penceramah yang berkisarkan kehidupan
manusia dari alam roh hingga alam akhirat. Berulang-ulang kali Ustaz Kapten (B)
Dzulkarnain Hamzah mengingatkan
jemaah iaitu kita hidup di dunia ini mestilah sentiasa hidup mengikut syariat
Allah dalam setiap apa yang kita lakukan. Tidak disentuh bab wasatiyyah, tidak
disentuh bab hudud, tidak disentuh bab negara berkebajikan.
Ceramah diadakan waktu matahari tegak, iaitu jam 11.30 pagi
hingga 1.30 tengahari. Kebiasaannya waktu ini kalau hari Jumaat, ramai jemaah
yang tidur, panas, berpeluh.
Tapi pada majlis tersebut walaupun Masjid Tanah Datar
sempit, tiada penghawa dingin, suasana dalam masjid amat cukup selesa, tidak
panas, tidak sejuk, tiada kanak-kanak buat bising di bahagian belakang seperti
mana ketika khutbah Jumaat sedang dibacakan mengikut teks.
Ustaz Kapten (B) Dzulkarnain Hamzah
berceramah tidak mengikut teks, itu yang membuatkan jemaah terbeliak biji mata
mendengar setiap satu yang diperkatakan walaupun duduk dalam masjid selama 2
jam waktu tengahari.
Antara yang amat menyentuh isi ceramah ialah penceramah
mengingatkan sekarang ialah bulan Safar, pada 29 Safar lah kekasih kita Nabi
Muhammad saw jatuh sakit sehinggalah kewafatan baginda dua minggu selepas itu.
Selepas ceramah, jemaah solat Zuhr, kemudian jemaah
dihidangkan dengan masakan kampung secara santai yang begitu enak sekali. Saya ambil gulai lembu masak cili api dan
kepala ikan tilapia. Anak saya ambil kari daging. Anak saya kata sedap betul
karinya. Maaflah kalau terliur.
Sepanjang program
beberapa jemaah tak henti-henti ambil gambar, terpesona dengan kehadiran yang
cukup luar biasa agaknya.
Indahnya masjid
tanpa politik kepartian yang sempit.
Gambar sekitar
program di http://rembau-hari-ini.blogspot.com/2012/12/sekitar-majlis-tahlil-perdana-2012.html
1 ulasan:
Insya Allah. Semoga ini adalah langkah permulaan.
Catat Ulasan