Tak kenal maka tak cinta, mudah saja.
Tak kenal Islam, maka tak cinta Islam. Tak kenal Allah, maka tak
cinta Allah. Tak kenal bangsa sendiri, kalau orang Melayu, tak cinta
bangsa sendiri. Untuk orang Negeri Sembilan pula, khususnya orang
Rembau, kalau tak kenal suku, maknanya tak cinta bangsa dan tanahair
sendiri.
Lepas solat Maghrib sebentar tadi di
Masjid Kg Bongek yang imamny anak almarhum Tuan Guru Hj Mohd Yatim
(ulama terkenal di daerah Rembau), saya singgah di satu-satunya gerai
burger di pekan Chengkau.
Peniaga burger tadi namanya gelarannya
Aboi atau Botak, asal Mampong, kini menetap di RR Chengkau. Seorang
pemuda yang sentiasa tersenyum kalau ditegur, burgernya pun sedap
dengan harga yang telalu amat berpatutan. Kemudian ada pula seorang
pemuda yang memakai t-shirt merah berlogokan Umno, Syafiq namanya
dari Nerasau yang menemankan Aboi.
Sah dua-dua pemuda ini orang Rembau.
Saya tanyalah kedua-dua pemuda tadi mereka dari suku mana. Mereka
kata tak tahu, dan tak pernah ambil tahu.
Lalu saya ceritakanlah kepada mereka
sejarah Rembau, Undang Rembau dan suku-suku di Rembau. Saya ceritakan
kepada mereka tentera penjajah Portugis amat takut bertempur dengan
tentera Rembau. Sultan Melaka yang terakhir juga mengambil
perlindungan di Rembau selepas kejatuhan Melaka. Kemudian saya
ceritakan pula antara Undang Rembau yang paling hebat ialah Undang
Dato Abdullah, yang pemikiran Dato Abdullah ini masih tidak dapat
ditandingi di era moden ini. Dato Abdullah telah mendirikan sekolah
perempuan yang pertama di Kg Tanjung pada tahun 1928.
Undang Rembau jugalah dengan sahabat
karibnya Sir Raja Chulan dengan Yamtuan dan Sultan Perak telah
menubuhkan Askar Melayu.
Tercengang kedua-dua pemuda tadi yang
tidak pernah didengarkan mengenai sejarah Rembau sebelum ini.
Lalu pemuda tadi kata, karang balik
rumah nanti nak tanya emak dia , dia suku apa. Bangga sungguh mereka
bahawa orang Rembau ini tidak kurang hebatnya di mata glokal.
Antara uniknya adat Rembau ini ialah
ianya menghidupkan sunnah Nabi yang tidak terdapat pada bangsa lain,
iaitu mengekalkan nasab ibu, sepertimana nasab cucu Nabi saw ,
Saidina Hasan dan Husin melalui ibunya Saidatina Fatimah ra.
Jangan malu mengaku orang Rembau dan
jangan merendahkan bangsa lain.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan