Sinar 31 Dis 2012 - RAMAI pasangan
gagal meneruskan perkahwinan hingga bercerai-berai kerana menghadapi
tekanan emosi. Antaranya, akibat masalah tidak cukup wang belanja
selepas hidup berpasangan atau setelah mempunyai cahaya mata.
Perunding motivasi dan kaunseling, Hushim Salleh berkata, kes
sedemikian banyak berlaku kepada pasangan yang membuat pinjaman
peribadi dengan bank atau institusi kewangan.
Bahkan ada yang berhutang dengan
pemberi pinjam tanpa lesen (ah long) bagi menyediakan wang hantaran
dan kos kenduri.
“Ramai datang ke klinik kaunseling
saya mengadu tertekan sebab terpaksa membayar hutang ketika
melangsungkan majlis perkahwinan. Sedangkan perbelanjaan harian
berubah bila dah hidup berdua dan beranak-pinak.
“Peringkat awal semua nampak manis.
Cinta masih baru. Tak nampak kesan. Lepas berbulan atau setahun dua,
pasangan itu akan rasa kesannya. Gaji tidak seberapa tapi hutang yang
beribu kena bayar setiap bulan. Bayangkan kalau individu baru tamat
universiti berkahwin secara berhutang,” ujar beliau.
Hushim menambah, sedia maklum pasangan
baru tamat pengajian jika makan gaji tidak akan terus menerus
menerima gaji lumayan. Selepas berkahwin banyak belanja hendak guna
seperti duit sewa rumah, bil air dan elektrik, peralatan serta makan
minum. Perbelanjaan makin bertambah setelah pasangan mendapat anak.
“Tapi gaji suami atau isteri dipotong
setiap bulan sebab nak bayar hutang. Mungkin juga tolak Kumpulan Wang
Simpanan Pekerja (KWSP) atau sesetengah tu tolak hutang belajar.
"Secara psikologi bila tak cukup
duit, biasanya pasangan saling mempertikai dan mengaitkannya dengan
hutang wang hantaran dan belanja kahwin dulu,” jelas Hushim.
Tambahnya, akibat pertengkaran tidak
berkesudahan, emosi pasangan terganggu serta tertekan. Mereka mula
memikirkan semula diri pasangan hingga ada beranggapan tidak
mengenali pasangan yang sudah dinikahi. Dalam erti kata lain ungkit
mengungkit.
“Bila bertengkar, macam-macam
perkataan disebut. Terkeluar sifat sebenar pasangan. Bergaduh setiap
masa. Ketika inilah mereka terlupa soal cinta. Dah tak kenal cinta.
Cinta jadi retorik semata-mata. Daripada cinta terbalik jadi benci.
“Masalah akan lebih teruk dan tidak
berkesudahan kalau ada yang masuk campur keluarga kedua-dua pihak.
Tapi tidak mampu menyelesaikan konflik. Kepada pasangan yang gagal
mencapai persefahaman kebiasaannya mengambil keputusan bercerai.
“Ada kes seorang pensyarah buat
kenduri kahwin besar-besaran. Tapi bercerai selepas 15 hari. Bila
lalui kaunseling, puncanya sebab bertengkar dan ungkit mengungkit
wang hantaran serta belanja kenduri.
“Waktu bersanding hanya ingat yang
indah-indah. Tapi lepas selesai majlis, baru sedar terlalu banyak
guna duit. Lalu saling menyalahkan sesama sendiri dan mula fikir tak
sefahaman. Akhirnya bercerai,” akhiri beliau.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan