KASIH SAYANG

KASIH SAYANG

20121203

Perpaduan Melayu, Islam, mulalah dari rumah sendiri



Bercakap mengenai perpaduan Melayu dan Islam, kepada mereka yang melaung-laungkannya baik perpaduan Melayu apatah lagi perpaduan Islam, mulalah dari diri sendiri, rumah sendiri, cerminlah diri sendiri dahulu.

Terlalu banyak saya perhatikan ketika ini rumah tangga yang porak peranda, terlalu banyak saya perhatikan anak-anak yang mengabaikan ibu yang sudah tua. Tidak tahan melayan karenah ibu yang sudah tua, itu belum lagi ibu yang terlantar sakit. Walaupun adik beradik ramai, tapi tolak menolak antara adik beradik untuk menjaga ibu yang sudah tua.

Terlalu banyak pula saya perhatikan ketua keluarga, terutama lelaki Melayu/Islam yang mengabaikan rumahtangga. Di luar rumah bukan main lagi sebagai pejuang agama, pejuang bangsa, mesra dengan kawan-kawan, tetapi di rumah garang dengan anak-anak dan isteri. Itu belum lagi suami yang kaki judi, tahi judi, tak pernah solat dan sebagainya.

Apabila kita mulakan perpaduan Melayu dan Islam di rumah kita, kemudian mulakan pula perpaduan Melayu dan Islam dengan sanak saudara dan jiran tetangga. Sentiasa prihatin siapa yang perlukan bantuan, tak kiralah sanak saudara dan jiran tetangga kita ni ahli parti politik mana sekali pun.

Kalau remaja, anak-anak muda di kejiranan kita hendak mengadakan aktiviti, menubuhkan kumpulan kompang dan sebagainya, sama-samalah kita memerah otak bagaimana untuk menjayakannya. Jangan salahkan anak-anak muda di kejiranan kita melepak dan sebagainya, jika kita tidak pernah memikirkan apa aktiviti yang bermanafaat untuk mereka sepanjang cuti sekolah.

Apabila kita ke surau atau masjid, apabila berborak pasal projek dengan rakan kontraktor, janganlah bincang pasal projek yang kita boleh dapat komisyen. Bincanglah projek yang boleh memberi manafaat kepada masjid, surau, KAFA atau projek yang boleh membantu jiran kita yang kesusahan, menganggur dan sebagainya.

Bukan susah untuk mempraktikkan perpaduan Melayu dan Islam. Pokoknya , hati kita sendiri, diri kita sendiri, keluarga kita sendiri.  Hanya media sahaja yang katakan susah untuk mempraktikkan perpaduan Melayu dan Islam ini, mungkin kerana perpaduan mereka di tempat kerja tidak dapat dipraktikkan, perpaduan mereka dalam rumah mereka tidak dapat dipraktikkan.

Tiada ulasan: