Kepada mereka yang masih diberi peluang
berbakti kepada ibu bapa, doakanlah mereka agar dipanjangkan umur,
agar mereka dapat beramal ibadah hingga ke akhir hayat, dan agar kita
dapat ditambahkan pahala menjaga ibu bapa kita. Jangan kita sekadar
menjadi juara rakyat, juara Islam, juara Melayu, juara Palestin,
juara hari ibu dan sebagainya. Setiap kita sepatutnya menjadi juara
memelihara kedua ibu bapa kita.
Sekiranya ibu bapa kita telah tiada,
untuk menjadi juara menjaga ibu bapa di dalam kubur, ialah dengan
menjadi anak-anak yang soleh dan solehah.
Apabila kita baca artikel di bawah ini,
cermin diri kita sendiri terlebih dahulu sebelum kita mengata orang
lain.
Ibu derita sendirian
15 Dis 2012
ALOR GAJAH: Memilukan apabila seorang
wanita warga emas bukan saja terlantar bersendirian di ruang tamu
rumahnya di Kampung Pulau Sebang di sini, malah bergelumang dengan
najisnya sendiri berikutan keuzuran dialaminya tanpa mendapat
pembelaan anak tunggalnya yang didakwa menghilangkan diri.
Lebih malang apabila permohonan Sabi
Dollah berusia 85 tahun itu untuk tinggal di rumah kebajikan tidak
mendapat pertimbangan sewajarnya.
Sumber berkata, warga emas itu
terlantar beralaskan sekeping tilam nipis di atas lantai ruang tamu
rumahnya yang tidak terurus.
“Dia (wanita itu) tinggal sendirian
dengan keadaan kesihatannya yang lemah selain mengalami masalah
penglihatan dan pendengaran. Dia hanya mampu mengharap simpati jiran
terdekat memberinya makan minum selain menyediakan keperluan lain.
“Difahamkan, dia mempunyai seorang
anak tunggal perempuan namun menghilangkan diri tanpa menjenguk
keadaannya selama lebih lima tahun tanpa khabar berita,” katanya di
sini, semalam.
Menurutnya, sejak terlantar sakit,
warga emas itu hanya mampu mengharapkan perhatian dan ihsan jiran
terdekat yang sering datang membawa makanan dan minuman.
“Beberapa jiran terdekat yang
bersimpati menjenguk dan menyuapnya makanan tanpa bekalan air bersih
yang dipotong disebabkan tunggakan bil lebih RM1,500.
“Lebih menyayat hati warga emas ini
terpaksa membuang air kecil dan air besar di atas tempat tidurnya
setiap hari hingga menyebabkan rumah busuk,” katanya.
Kata sumber itu, keperitan hidup
ditanggung warga emas itu mendapat perhatian pihak berkaitan yang
akan mendapatkan tempat tinggal dan memastikan kebajikannya
terpelihara.
“Namun, tiada maklum balas diterima
dan lebih mengecewakan apabila syarat yang perlu dipatuhi seperti
pemeriksaan kesihatan turut dibuat,” katanya.
Melihat keadaan diri warga emas itu
yang menghidap sakit pundi kencing dan darah tinggi, beberapa
penduduk menghubungi bantuan kecemasan untuk dihantar ke Hospital
Alor Gajah (HAG), petang kelmarin.
“Paramedik Jabatan Pertahanan Awam
Malaysia (JPAM) Alor Gajah yang dipanggil kemudian membawa warga emas
berkenaan ke HAG sebelum dirujuk ke Hospital Melaka (HM),” katanya.
Sementara itu, Ketua Operasi JPAM
daerah, Saiful Nazmi Said berkata, keadaan wanita berkenaan amat
menyedihkan kerana bergelumang dengan najis.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan