Utusan Malaysia 25 Dis 2012
Dalam Hadis yang diriwayatkan oleh Abu
Dawud, Rasulullah SAW bersabda yang antara mafhumnya menyatakan
bahawa, sesiapa yang meninggalkan solat Jumaat tiga kali
berturut-turut dengan sengaja, maka Allah SWT akan menutup pintu
hatinya daripada menerima petunjuk.
Berdasarkan kepada nas-nas yang ada
ini, maka pihak pemerintah memperuntukkan undang-undang bahawa lelaki
yang telah baligh dan tidak menunaikan solat Jumaat selama tiga kali
berturut-turut tanpa sebarang keuzuran, adalah melakukan kesalahan.
Jika disabitkan kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM1,000 atau
dipenjarakan tidak melebihi enam bulan, ataupun menerima kedua-dua
hukuman itu. Contohnya di Seksyen 14 Akta Kesalahan Jenayah Syariah
(Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 atau Akta 559.
Walau bagaimanapun, dengan ruang dan
kemudahan yang telah disediakan ini, pada waktu umat Islam
mengerjakan solat Jumaat, malangnya masih ramai kaum lelaki (yang
kita yakin bahawa mereka ini beragama Islam), tidak bersama-sama
melaksanakan solat Jumaat, malah, bebas melakukan pelbagai aktiviti.
Sehubungan dengan perkara ini juga,
ramai kalangan wanita pula yang mengambil peluang pada waktu rehat
yang lebih panjang ini untuk keluar membeli-belah. Dalam hal ini,
mereka perlu bersikap berhati-hati untuk melakukan urusan jual beli
sekalipun secara umumnya, hukum untuk bermuamalat bagi kalangan
wanita dalam waktu solat Jumaat adalah harus.
Walau bagaimanapun, berjual beli dengan
lelaki yang berkewajipan untuk menunaikan solat Jumaat adalah
disifatkan sebagai menyokong lelaki berkenaan untuk tidak
melaksanakan kewajipan yang telah pun diperintahkan Allah SWT. Maka,
hukumnya adalah berdosa kerana bersubahat dengan pelanggaran
kewajipan berkenaan.
PENULIS ialah Pegawai Penyelidik Kanan
Pusat Kajian Syariah, Undang-undang dan
Politik Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM).
Tiada ulasan:
Catat Ulasan