3 Jan 2013 - Negeri Sembilan telah
melahirkan ramai tokoh yang berjuang ketika negara berada di dalam
zaman penjajah terutamanya Inggeris dan Jepun. Malangnya nama mereka
hilang daripada sejarah N.Sembilan di mana tidak ada satu usaha pun
yang dijalankan oleh Kerajaan Negeri melalui agensinya untuk
mengumpulkan sejarah mahupun maklumat mengenai pejuang-pejuang anak
N.Sembilan yang telah berjuang menentang penjajah sehingga sanggup
mengorbankan dirinya.
Bagi menampung kekosongan koleksi tokoh
pejuang Negeri Sembilan, kami mengambil inisiatif mengumpulkan
beberapa tokoh yang tidak pernah diberi perhatian terutamanya mereka
yang mempertahankan tanah air.
Baru-baru ini, kami
menerima panggilan telefon di mana kami telah dikejutkan satu
maklumat mengenai Kapten Yazid Ahmad. Sahabat kami di Singapura telah
menemui dimanakah tugu peringatan yang terpahat nama Kapten Yazid
Ahmad.
Siapa dia Kapten
Yazid Ahmad?
Kapten Yazid
dilahirkan di Kampung Linggi, Negeri Sembilan. Beliau bertugas
sebagai guru. Di SITC, beliau telah menganggotai Federated Malay
States Volunteers Force.
Ketika Tanah Melayu diserang oleh
tentera Jepun, beliau telah ditugaskan untuk mempertahankan
Singapura. Kapten Yazid Ahmad telah berjaya ditawan oleh tentera
Jepun.
Beliau bersama-sama 6
orang pegawai Melayu telah diberikan 2 pilihan bagi mengelakkan
mereka dibunuh.
Pilihan pertama ialah
menyertai tentera Jepun sebagai Pegawai Tentera Jepun manakala
pilihan kedua pula ialah tanggal pakaian tentera dan pangkat mereka
di mana mereka perlu meninggalkan Singapura yakni pulang ke kampung.
Mereka telah menolak
kedua-dua pilihan tersebut bagi mempertahankan maruah mereka sebagai
pejuang Tanah Melayu. Oleh kerana kedegilan mereka, tentera
Jepun telah menjatuhkan hukuman bunuh ke atas semuanya pada awal pagi
28hb Februari 1942.
Diantara yang dibunuh ialah Kapten Raja
Aman Shah, Kapten Yazid bin Ahmad, Leftenan Dato’ Othman Kering
(YTM Undang Naning), Leftenan Ariffin, Leftenan Wahid dan lain-lain
bersama tawanan lain.
Demi maruah dan semangat perjuangan,
mereka sanggup dibunuh daripada membiarkan diri mereka diinjak-injak
oleh tentera Jepun. Menurut maklumat awal, kami dimaklumkan bahawa
mereka telah dibunuh di Beduk Hill, Singapura dengan menggunakan
Anti-Air Craft Gun.
Kami sedang berusaha untuk mendapatkan
maklumat lebih lanjut mengenai perjuangan mereka untuk tatapan
generasi yang akan datang.
Kami tidak pasti apa yang
berlaku di Negeri Sembilan. Kadangkala kita hanya syok sendiri dengan
apa yang kita lakukan. Apa yang diucapkan tidak sama yang dilakukan.
Adakah individu yang bertanggungjawab tidak memahami apa yang perlu
dilakukan atau memang tidak tahu apakah tanggungjawab mereka. Selama
ini kita hanya memperjuangkan adat tanpa menyedari bahawa banyak lagi
aspek sejarah Negeri Sembilan yang boleh ditonjolkan.
Sebagai contoh, setiap
tahun ketika menyambut Bulan Kemerdekaan, kita hanya disogokkan
dengan pameran komunis. Adakah hanya komunis yang mengancam
keselamatan negara kita? Bagaimana dengan pendudukan tentera Jepun di
Tanah Melayu?
Negeri Sembilan tidak
kurang dari segi tokoh pejuang negara. Tidak ada usaha mencari tokoh
yang berjaya di dalam bidang masing-masing dijalankan secara
terancang dan teratur.
Apa yang berlaku, kita
hanya memperlihatkan tokoh yang sama seperti Pendita Za’ba.
Kita tidak pernah mengkaji
secara terperinci mengenai Aminudin Baki. Apakah kaitan beliau dengan
Negeri Sembilan? Malah, Kapten Yazid Ahmad, Pendita Za’ba dan
Aminudin Baki mempunyai hubungan kekeluargaan yang amat rapat. Tiada
siapapun yang menyedarinya.
Jika dilihat dari sudut
ketenteraan pula, terdapat 2 orang anak Negeri Sembilan yang terlibat
secara langsung di dalam penubuhan Rejimen Askar Melayu iaitu Yang
DiPertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhammad dan Undang Luak
Rembau, YTM Dato’ Abdullah Dahan.
Kami percaya tidak ramai
yang mengetahui sejarah dan peristiwa bagaimana YTM Dato’ Abdullah
Dahan bersama-sama pembesar Rembau telah melawat negara Jepun bagi
mempelajari bagaimana menubuhkan pasukan tentera.
Kami tidak faham bagaimana
agensi yang bertanggungjawab menjalankan tugas. Ia seumpama tukul dan
pahat. Apabila ditegur, barulah tugas dilaksanakan. Kami tersenyum
apabila dimaklumkan pihak berkenaan akan membuat kajian mengenai
Sarjan Hassan setelah sekian lama kami mencadangkannya.
Kini semuanya
terserah kepada kerajaan negeri bagaimana untuk menengahkan dan
mengumpul sejarah tokoh Negeri Sembilan yang pernah berjasa demi anak
bangsa mereka dan tanah air.
Kami hanya mampu
mengumpulkan maklumat yang ada berdasarkan kemampuan kami. Kami
pernah menulis isu ini beberapa kali. Agak malang tidak ada tindakan
yang diambil. Mungkin kita terlupa atau terlepas pandang. Oleh yang
demikian, kami mengambil keputusan untuk meletakkannya untuk bacaan
bersama.
Butakah kita
oleh Waris Linggi dari
laman web Nagari Nan Tuo
Tiada ulasan:
Catat Ulasan